Showing posts with label RMK 10. Show all posts
Showing posts with label RMK 10. Show all posts

Monday, July 12, 2010

Kurikulum baharu tahun depan

ARKIB : 11/06/2010




DALAM tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh, (RMK-10) kurikulum baharu untuk sekolah rendah dan menengah akan diperkenalkan.



Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah akan diganti dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah tahun depan diikuti dengan kurikulum baharu untuk sekolah menengah.



Kurikulum berbentuk modular itu akan memberi peluang kepada semua pelajar melalui proses pembelajaran mengikut kemampuan sendiri. Ia juga memupuk sikap bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri menerusi aktiviti eksplorasi yang boleh menyerlahkan potensi mereka.



Kurikulum itu akan menekankan kreativiti, inovasi dan keusahawanan merentasi semua mata pelajaran.



Sebagai usaha membentuk pelajar seimbang dari segi akademik dan kesukanan, kurikulum baharu akan menjadikan Sukan sebagai subjek mata pelajaran mulai tahun depan.



Sehubungan, peruntukan untuk geran sukan bagi setiap pelajar akan dinaikkan dari RM2.40 kepada RM4 bagi sekolah rendah dan RM4 kepada RM6 untuk sekolah menengah.



Di bawah RMK-10, kerajaan akan melaksana pelbagai kaedah perkongsian awam-swasta seperti dalam pengurusan sekolah dan pembiayaan yuran sekolah.



Kerajaan juga akan menyediakan insentif kepada pengusaha swasta bagi mempercepatkan penyediaan prasekolah dan membolehkan mereka mendapat geran pembinaan di kawasan kurang membangun di luar bandar.



Sektor swasta dijangka membina 488 prasekolah tahun ini, 1,000 tahun depan dan 1,145 tahun 2012.



Skim pembiayaan bersama bagi meningkatkan permintaan terhadap pendidikan prasekolah juga akan dilaksana bagi membantu golongan berpendapatan rendah.



Bantuan sehingga RM150 sebulan diberikan kepada mereka untuk pendidikan kanak-kanak berumur 4+ dan 5+ tahun di prasekolah swasta.



Dalam tempoh rancangan, umur bagi memulakan persekolahan akan dikurangkan daripada 6+ kepada 5+. Langkah ini selaras dengan amalan negara maju.



Sementara itu perkongsian awam-swasta dalam pendidikan asas memberi autonomi kepada pengendali sekolah sebagai tukaran kepada penambahbaikan yang spesifik dalam prestasi pelajar seperti yang dipersetujui dalam kontrak rasmi.



Model serupa telah diguna pakai di sekolah persendirian Cina di Malaysia seperti yang diguna pakai oleh Charter School di Amerika Syarikat, Independent School di Sweden serta specialist school dan academy school di United Kingdom.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_10.htm

Transformasi sektor awam untuk tindak balas berkesan

ARKIB : 11/06/2010




TRANSFORMASI sektor awam akan memberikan perkhidmatan lebih cekap kepada rakyat.



SEKTOR awam perlu ditransformasikan bagi bertindak balas secara berkesan kepada persekitaran global yang pesat berubah. Empat prinsip utama yang menjadi asas kepada transformasi ini adalah budaya kreativiti dan inovasi, kepantasan membuat keputusan dan bertindak, nilai untuk wang serta integriti.



Memandangkan cabaran dan peluang akan melangkaui sempadan tradisi, pendekatan keseluruhan kerajaan antara agensi serta kerjasama merentasi peringkat persekutuan negeri dan tempatan sebagai sebuah kerajaan bersepadu bagi memastikan isu bersilang agensi dapat ditangani.



Bagi membolehkan kepantasan dalam membuat keputusan dan bertindak, lebih banyak penurunan kuasa akan diberi kepada agensi terpilih selaras dengan peningkatan akauntabiliti dan kemampuan.



Lebih autonomi akan diberi kepada agensi pengendali seperti universiti dan hospital supaya menjadi lebih responsif kepada pelanggan.



Bagi meningkatkan penyampaian, mekanisme persaingan dan pasaran akan terus diperkenal seperti penarafan balai polis dan sekolah serta pembiayaan berasaskan permintaan bagi universiti dan institut latihan.



Untuk memastikan akauntabiliti KPI bagi mengukur hasilnya akan dikait kepada individu dan dipantau secara berskala dan menumpu kepada usaha memperbaiki kedudukan fiskal negara dalam tempoh rancangan.



Selain memperluas asas cukai melalui kutipan lebih efektif, mencapai peningkatan produktiviti melalui infrastruktur bersepadu dan memperkenal perkongsian perkhidmatan serta meningkat kecekapan dalam perolehan dan pengurusan ICT.



Kerajaan akan memberi tumpuan kepada peranan sebagai pemudah cara dalam menyediakan persekitaran yang sesuai untuk sektor swasta melalui dasar dan peraturan yang efektif.



Di samping itu, terdapat juga peralihan dalam perbelanjaan sektor awam daripada infrastruktur fizikal kepada bukan fizikal terutamanya dalam program peningkatan kemahiran, penyelidikan dan pembangunan, pembiayaan modal teroka dan pemboleh inovasi lain.



Kerajaan juga akan terus beralih daripada pembinaan infrastruktur fizikal dan pengoperasian perkhidmatan awam kepada perolehan perkhidmatan daripada sektor swasta.



Struktur baru kerajaan akan memerlukan sesetengah organisasi sedia ada dirasionalisasi terutamanya yang mempunyai fungsi bertindih atau berulang.



Organisasi yang memfokus kepada keutamaan nasional akan diperkukuh dan sumber manusia dalam perkhidmatan awam akan terus dibangun.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_09.htm

Kecekapan pengangkutan awam dipertingkatkan

ARKIB : 11/06/2010




sistem pengangkutan lebih cekap dan selesa menjadi harapan semua warga Malaysia.



--------------------------------------------------------------------------------



PELABURAN dalam pengangkutan awam dalam tempoh RMK-10 tertumpu kepada peningkatan kecekapan sistem sedia ada bagi menampung pertumbuhan permintaan masa hadapan.



Ia akan dilaksanakan di kawasan bandar besar dengan tidak meminggirkan bandar bersaiz sederhana di seluruh negara.



Inisiatif utama di Kuala Lumpur dengan meningkatkan keupayaan transit aliran ringan (LRT) dengan menyambung 34 kilometer lagi daripada laluan sedia ada.



Selain itu, sebanyak 35 set tren empat gerabak baru akan dibeli bagi meningkat keupayaan LRT Laluan Kelana Jaya daripada anggaran 24,000 kepada 98,000 penumpang setiap jam dan mengurangkan masa menunggu daripada 3.3 minit kepada dua minit pada waktu puncak.



Keupayaan sistem komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) juga akan dipertingkatkan melalui pembelian 38 set unit gandaan elektrik (EMU) enam gerabak yang akan diterima pada 2012.



Kemudahan ini akan memberi manfaat kepada lebih 500,000 pengguna setiap hari. Selain itu, sistem bas aliran deras (BRT) sepanjang 49 kilometer meliputi tiga koridor utama Kuala Lumpur akan dilaksanakan. Malah ia akan dipertimbang untuk dilaksanakan di kawasan pusat perkembangan bandar baru di Wilayah Iskandar, Johor.



Dalam RMK-10 juga, pelaksanaan projek sambungan landasan berkembar elektrik Gemas ke Johor Bahru sepanjang 197 kilometer akan meningkatkan keupayaan landasan KTM antara lima dan 10 kali ganda.



Apabila landasan itu siap sepenuhnya yang bermula dari Johor Bahru hingga ke Padang Besar, Perlis, jumlah penumpang dijangka akan meningkat daripada 4.3 juta pada 2009 kepada 5.7 juta pada 2015.



Muatan barangan juga akan bertambah daripada 5.2 juta tan kepada 8.5 juta tan untuk tempoh sama.



Sementara itu, sistem tiket bersepadu bukan tunai melibatkan kesemua 16 pengusaha pengangkutan awam di Kuala Lumpur akan diperkenalkan.



Ia akan menghapuskan penggunaan pelbagai jenis tiket daripada pelbagai pengusaha yang mampu mengurangkan masa perjalanan.



Bagi memantapkan lagi operasi dan perkhidmatan, Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu di Kuala Lumpur akan dinaik taraf sebagai hab bagi penguatkuasaan dan pemantauan prestasi pengangkutan awam darat melalui penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) dan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).



Sistem itu akan beroperasi secara automatik bagi memantau secara lebih cekap terhadap 16 pengusaha bas dan dua pengusaha rel utama.



http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_08.htm

Pemilikan ekuiti bumiputera kekal

ARKIB : 11/06/2010




ekonomi Bumiputera termasuk pemilikan saham diberi penekanan dalam rmk-10.



--------------------------------------------------------------------------------



AGENDA pembangunan Bumiputera terus menjadi teras utama dasar pembangunan ekonomi Malaysia dengan sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi makro dikekalkan.



Selain memberi peluang penyertaan dalam ekonomi secara saksama, sasaran ekonomi Bumiputera juga akan meningkatkan taraf hidup isi rumah 40 peratus terendah dengan mengukuhkan penyertaan bumiputera dalam ekonomi negara.



Untuk itu, usahawan di kalangan isi rumah 40 peratus terendah akan diperluaskan dengan menggalakkan perniagaan berasaskan inovasi, dan pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) bagi syarikat Bumiputera.



Bagi mengukuhkan keusahawanan Bumiputera, pemilikan kekayaan hartanah dan aset perniagaan seperti ruang niaga, harta bertanah, bangunan komersial, harta intelek dan perkhidmatan lain melalui pelaburan institusi dan penggemblengan dana akan ditingkatkan.



Tumpuan penyertaan tulen, lebih meluas, bermakna dan mampan berbanding peruntukan ekuiti korporat akan diberi penekanan dengan galakkan untuk Bumiputera memegang jawatan pendapatan tinggi.



Jawatan pendapatan tinggi termasuklah pengurusan utama, profesional dan teknikal yang terbuka untuk semua etnik tetapi penyertaan Bumiputera adalah terjamin dan syarikat akan diwajibkan memberi maklumat jantina dan etnik pekerja mereka untuk pemantauan.



Selain itu, biasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) juga akan ditingkatkan untuk golongan Bumiputera mendapatkan kelayakan bersesuaian dan akan dibiayai kerajaan serta sumbangan syarikat korporat.



Program sangkutan (attachement) dan penempatan di luar negara akan dipertingkatkan untuk pendedahan meluas bidang perniagaan, jaringan kenalan dan pengalaman.



Syarikat yang mendapat kontrak atau perolehan besar dari kerajaan atau pelabur tempatan akan diminta memberi komitmen sasaran tenaga kerja yang seimbang, terutamanya untuk meningkatkan penyertaan bumiputera di peringkat antarabangsa.



Untuk mencapai sasaran untuk ekonomi Bumiputera, skim saham amanah akan diperluaskan kepada konsep merangkumi harta selain ekuiti korporat seperti hartanah melalui Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB).



YAHB akan menubuhkan Tabung Amanah Hartanah (REIT) untuk kurangkan halangan Bumiputera melabur dalam sektor hartanah komersial & industri.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_07.htm

Kawasan perbandaran lebih menarik, strategik

ARKIB : 11/06/2010





PEMULIHAN sungai dan pembangunan semula kawasan pinggiran air (waterfront) di bandar-bandar besar akan menjadi keutamaan kerajaan dalam RMK-10.



Antaranya ialah Kuala Lumpur, Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching yang merupakan pusat aktiviti utama dan sudah pun mempunyai kawasan pinggiran air strategik.



Kerajaan mengambil contoh bandar ikonik dunia yang mempunyai ciri sama iaitu pinggiran air yang berdaya maju, seperti Sungai Thames di London, Esplanade di Singapura dan Cheong Gye Cheon di Seoul, Korea Selatan.



Semua bandar besar berkenaan mempunyai pinggiran yang dipulihara dan dimajukan dengan baik sehingga menjadi salah satu tarikan utama pelancongan.



Perancangan itu terkandung dalam RMK-6 ke arah meningkatkan kualiti hidup dalam menjadikan kawasan kediaman sebagai suatu tempat atau kawasan yang menarik untuk didiami, bekerja dan beriadah.



Salah satu projek pemulihan pinggiran yang akan dijadikan model utama ialah pemulihan dan pengindahan Sungai Melaka yang turut memenangi anugerah, berdasarkan keunikan seni bina dengan mengintegrasi reka bentuk moden dan kekayaan warisan budaya.



Projek pemulihan itu nanti merupakan inisiatif jangka panjang yang memerlukan usaha bersepadu berskala besar bagi membersih, memulih ekosistem dan melindungi sungai, meliputi tempat ia mengalir melalui bandar dan di hulu tempat ia bermula.



Dalam pada itu untuk memastikan kesinambungan kesejahteraan rakyat, kerajaan turut memperluaskan perkhidmatan asas di kawasan luar bandar. Rasionalnya, bandar dan luar bandar saling bergantungan daripada segi ekonomi.



Sehubungan itu, pelaksanaan kelompok pertumbuhan di luar bandar atau Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) akan ditingkat dan dipercepatkan bagi memastikan warga desa mendapat manfaat daripada kemudahan awam berkualiti tinggi seperti kesihatan, pendidikan, komunikasi, pengangkutan awam dan utiliti.



http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_06.htm

Konsep 1Malaysia kukuh perpaduan

ARKIB : 11/06/2010




RANCANGAN Malaysia Kesepuluh (RMK-10) menyediakan rangka kerja dasar dan strategi bagi mencapai status sebuah negara maju menjelang 2020.



Rancangan ini juga dilakar berkonsepkan 1Malaysia dan dibina berasaskan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) yang menggariskan dasar dan strategi baharu.



Konsep 1Malaysia berhasrat untuk mengukuhkan perpaduan negara yang penting bagi mengekalkan kestabilan sosial dan politik; satu pra syarat untuk Malaysia kekal sebagai destinasi perniagaan dan pelaburan yang menarik.



Amalan menghormati perbezaan nilai pelbagai masyarakat akan membantu rakyat menghargai perbezaan tersebut sebagai aset.



Konsep ini mengharapkan rakyat Malaysia bergerak melangkaui toleransi untuk menerima dan akhirnya berbangga dengan kepelbagaian etnik, agama, budaya dan kepercayaan.



Prinsip keadilan akan menjadi teras kepada konsep ini.



Di bawah konsep ini, semua rakyat Malaysia akan diberi perhatian dengan tumpuan khusus kepada golongan kurang mendapat manfaat.



GTP diperkenalkan pada tahun 2010 untuk mentransformasikan kerajaan agar menjadi lebih efektif dalam sistem penyampaian perkhidmatannya serta bertanggungjawab ke atas pulangan.



MBE telah menggariskan Inisiatif Pembaharuan Strategik (IPS) dalam memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan dan inklusif.



RMK-10 telah mengambil kira kebanyakan strategi baru pertumbuhan ekonomi di bawah MBE dan IPS yang berkaitan.



RMK-10 juga menggabungkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan mengemas kini kemajuan pelaksanaan sistem penyampaian kerajaan sejak GTP dilancarkan.



http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_05.htm

Peranan GLC lebih penting

ARKIB : 11/06/2010


glc tidak lagi mendapat layanan istimewa kerajaan dalam rmk-10.



--------------------------------------------------------------------------------


PENSWASTAAN syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan iaitu Percetakan Nasional Bhd., CTRM Aero Composite, Nine Bio Sdn. Bhd. dan Inno Bio Sdn. Bhd. akan selesai dalam tempoh RMK-10.



Kerajaan akan melupuskan saham miliknya untuk memastikan aset dipegang secara meluas dan inisiatif pelupusan serta penswastaan tidak memberi kesan negatif kepada kepentingan awam.



Peranan GLC juga akan dirasionalisasikan untuk memberi tumpuan kepada bidang yang membantu merancakkan sektor swasta.



GLC turut mengurangkan penglibatan dalam bidang yang tidak meningkatkan nilai dan aset bukan teras miliknya akan dilupuskan secara berperingkat.



Bagaimanapun, GLC akan terus menjadi pemangkin dalam bidang pertumbuhan baru yang kurang atau tidak langsung diceburi oleh sektor swasta.



Ia bakal melabur bersama sektor swasta untuk meneroka pasaran baru dan memastikan syarikat Malaysia mencapai kejayaan lebih besar di peringkat global.



Pada masa sama, kerajaan akan memastikan persaingan seimbang antara GLC dan sektor swasta tanpa sebarang layanan istimewa.



http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_04.htm

Sunday, July 11, 2010

Guna tenaga dijangka berkembang pesat

ARKIB : 11/06/2010





GUNA tenaga dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), dijangka menawarkan 1.4 juta pekerjaan, terutamanya dalam sektor perkhidmatan.



Jumlah ini adalah jauh lebih tinggi berbanding 0.9 juta pekerjaan yang diwujudkan dalam tempoh Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9).



Justeru, ekonomi dijangka kekal dalam guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran dianggar 3.1 peratus pada tahun 2015.



Selain itu, pertumbuhan dalam tempoh RMK-10 akan dipacu oleh peningkatan produktiviti yang lebih tinggi berbanding penggunaan faktor modal dan buruh.



Peningkatan produktiviti juga disumbang oleh pulangan kecekapan yang diperoleh berikutan penghapusan herotan dalam ekonomi.



Pertumbuhan produktiviti akan dicapai melalui tahap input modal insan yang lebih tinggi, mengguna pakai teknologi baru dan pembangunan keusahawanan bagi mendorong inovasi dan kreativiti.



Sehubungan itu, sumbangan produktiviti faktor keseluruhan (TFP) kepada KDNK dijangka meningkat kepada 38.5 peratus manakala sumbangan modal dijangka berkurangan kepada 37.5 peratus dan buruh kepada 24 peratus.



Malaysia akan mendapat faedah daripada pelaburan yang lebih tinggi dalam bidang pertumbuhan terutamanya melalui penggunaan pengetahuan, inovasi dan teknologi secara intensif.



Pembangunan modal insan akan ditumpu kepada usaha untuk melahirkan bakat melalui peningkatan kemahiran dan kecekapan sumber manusia.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_02.htm

RMK-10: Ekonomi berkembang 6 peratus

ARKIB : 11/06/2010





Perkembangan fizikal bukan lagi menjadi tumpuan utama dalam rmk-10.



--------------------------------------------------------------------------------







EKONOMI perlu berkembang pada kadar enam peratus setahun dalam tempoh RMK-10 2011-2015 untuk mencapai aspirasi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.



Transformasi persekitaran untuk pertumbuhan ekonomi perlu dilaksanakan bagi membolehkan peningkatan dinamisme dan produktiviti.



Cabaran utama adalah untuk beralih daripada ekonomi berdasarkan kos dan sumber asli kepada ekonomi yang dipacu oleh produktiviti, inovasi dan berupaya memupuk, menarik serta mengekalkan modal insan berbakat, syarikat dan modal.



Bagi mencapai taraf ekonomi berpendapatan tinggi, Malaysia perlu beralih kepada strategi yang menumpu kepada pengkhususan dalam beberapa sektor ekonomi dan geografi terpilih, yang mana negara mempunyai kelebihan daya saing.



Pertumbuhan ekonomi akan memanfaatkan kekuatan dan daya saing negara untuk membangunkan sumber pertumbuhan baharu.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_01.htm

Friday, June 11, 2010

Prinsip meritokrasi bantu usahawan bumiputera

KUALA LUMPUR 10 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan hanya akan membantu usahawan bumiputera yang benar-benar menunjukkan keupayaan untuk bersaing sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dilaksanakan.



Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu sejajar dengan keutamaan RMK-10 yang menjadikan prinsip meritokrasi sebagai syarat paling utama dalam menjayakan agenda pembangunan bumiputera.



Beliau berkata, berbanding sebelum ini usaha untuk memajukan agenda bumiputera tidak memberi penekanan terhadap langkah tersebut hingga menyebabkan berlaku ketirisan serta 'ali baba'.



"Kerajaan tidak mahu menggunakan cara lama seperti sebelum ini yang mana kita lihat ia tidak banyak memberi kesan. Akhirnya kita membuat keputusan untuk bersandarkan pada prinsip meritokrasi.



"Kerajaan mendapati di kalangan pengusaha bumiputera, ada antara mereka yang berkemampuan dan boleh menjadi usahawan yang berjaya.



"Dengan kata lain mereka mempunyai merit. Usahawan seperti ini akan kita dokong sehingga mereka menjadi pemain yang berjaya," katanya kepada pemberita selepas pembentangan RMK-10 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini.



Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pengekalan sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti korporat bumiputera dan ekonomi di peringkat makro dalam RMK-10.



Menjawab satu soalan, Muhyiddin berkata, setiap usahawan bumiputera yang akan dibantu selepas ini tertakluk pada kriteria serta syarat ditetapkan.



"Ada kriteria tertentu tetapi yang penting mesti ada daya keusahawanan, kemahiran serta mempunyai rekod baik yang baik. Bukannya ali baba,'' tambahnya.



Mengenai majlis peringkat tertinggi untuk merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda pembangunan bumiputera yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, beliau berkata, ia bakal melancarkan lagi proses pembangunan tersebut.



Dalam pada itu, beliau berkata, langkah kerajaan meneruskan perjuangan untuk meneruskan agenda tersebut merupakan bukti bahawa kerajaan prihatin dengan pencapaian golongan bumiputera khususnya dalam bidang ekonomi.



"Ini jelas menunjukkan bahawa Perdana Menteri peka dengan pandangan-pandangan daripada masyarakat bumiputera. Kita ambil kira keperluan ini dalam usaha mengurangkan jurang antara pembangunan masyarakat bumiputera dan bukan bumiputera," tambahnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm

Pendidikan seawal usia 5 tahun

KUALA LUMPUR 10 Jun - Kerajaan komited memperkenalkan sistem pendidikan formal seawal usia lima tahun pada akhir tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) kerana ia bakal memberi implikasi besar dalam sistem pendidikan negara.



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, sebelum rancangan itu terlaksana, kerajaan perlu membuat beberapa persiapan iaitu menyediakan lebih ramai guru terlatih serta menambah bilangan sekolah.



Beliau berkata, langkah itu penting kerana berdasarkan jangkaan kementerian, sekiranya sistem itu mula dilaksanakan secara keseluruhan jumlah murid yang akan memasuki sekolah tahun satu akan bertambah tiga kali ganda iaitu daripada 500,000 kepada 1.5 juta.



''Secara prinsipnya tidak ada masalah. Bagaimanapun kita perlu ada kapasiti iaitu sekolah dan guru perlu mencukupi dalam usaha kita menampung pertambahan penuntut. Soal persiapan amat penting sebelum sistem ini mula dilaksanakan.



"Namun begitu seperti mana yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin sistem persekolahan formal seawal lima tahun itu akan mula diperkenalkan secara berfasa iaitu sebelum RMK-10 tamat," katanya kepada pemberita selepas pembentangan RMK-10 oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.



Dalam pembentangan tersebut antara perkara yang banyak disentuh oleh Najib ialah sektor pendidikan dan antaranya ialah komitmen kerajaan meneruskan program Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) serta memperkenalkan program Sekolah Amanah atau Trust Schools.



Mengenai rancangan sistem pendidikan formal seawal usia lima tahun Perdana Menteri berkata, langkah untuk mengurangkan umur persekolahan formal daripada enam tahun kepada lima tahun pada akhir tempoh rancangan tertakluk pada kemampuan kerajaan.



Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, hasrat untuk mengurangkan tahun kemasukan ke pendidikan formal telah lama dibincangkan.



"Sebenarnya kebanyakan negara-negara lain telah melaksanakan sistem pendidikan formal seawal lima tahun dulu. Kita lihat sistem ini lebih mematangkan pelajar selain memberi kesan dari segi bekalan modal insan," katanya.



Mengenai pelaksanaan sistem Sekolah Amanah, Muhyiddin berkata, ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat yang boleh dimainkan oleh pihak swasta dalam meningkatkan pretasi sekolah.



"Konsep ini seperti sekolah angkat. Sesiapa yang berminat untuk membantu sekolah berkenaan boleh berbuat demikian. Saya harap ia dapat dimulakan akhir tahun ini.



"Kita sebenarnya telah memulakan perbincangan dengan pihak Khazanah Nasional (Khazanah). Kita bercadang untuk melibatkan 10 sekolah iaitu lima sekolah yang agak rendah dari segi pencapaian, tiga sederhana dan dua sekolah berprestasi tinggi," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

Agenda pembangunan bumiputera diteruskan

KUALA LUMPUR 10 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan agenda pembangunan bumiputera akan terus diberi penekanan di bawah RMK-10 dengan pendekatan baru yang turut berasaskan merit.



Sebagai bukti komitmen kerajaan, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan majlis peringkat tertinggi diketuai oleh beliau sendiri yang akan berfungsi merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda tersebut.



Penubuhan majlis itu merupakan satu daripada lima inisiatif strategik yang dikenal pasti untuk meningkatkan penyertaan masyarakat bumiputera dalam ekonomi negara.



Empat inisiatif strategik lain adalah meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera melalui institusi berkaitan kerajaan; mempertingkat pegangan hartanah; menambah baik program pembangunan kemahiran dan keusahawanan serta membangun guna tenaga profesional secara tuntas.



"Memandangkan persekitaran ekonomi global dan domestik lebih mencabar, tibalah masanya untuk kita melaksanakan transformasi di dalam agenda pembangunan bumiputera bagi mewujudkan penyertaan syarikat yang berdaya saing dan berdaya maju.



"Pendekatan baru ini akan berasaskan kepada empat prinsip utama iaitu mesra pasaran, berdasarkan keperluan, merit dan kelulusan," katanya ketika berucap membentangkan RMK-10 di Parlimen hari ini.



Najib memberitahu majlis itu akan dianggotai oleh beberapa menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan serta pihak swasta dengan Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri bertindak sebagai urus setia.



Tambah beliau, Unit Pengurusan Projek di Kementerian Kewangan akan memantau program yang berkaitan bagi memastikan pelaksanaan yang cekap dan berkesan.



Bagi memperluas pemilikan dan kawalan ekuiti bumiputera, Najib berkata, program ekuiti swasta dalam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan seperti Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Tabung Haji akan diperbaharui, diperkukuh dan diperluaskan.



Institusi pelaburan ekuiti swasta bumiputera yang ditubuhkan kerajaan iaitu Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) pula, jelasnya akan membawa pendekatan baru yang lebih mesra pasaran dan berdasarkan merit.



"Ekuinas akan melabur ke dalam syarikat sederhana besar yang berpotensi tinggi agar dapat disokong sehingga menjadi jaguh serta peneraju utama dalam sektor masing-masing," katanya.



Dalam usaha mempertingkatkan pemilikan hartanah bumiputera, Najib berkata, Pelaburan Hartanah Bhd. akan menubuhkan Tabung Pelaburan Amanah Hartanah bagi mengurangkan kekangan untuk melabur dalam sektor hartanah komersial dan industri serta mendapat faedah daripada peningkatan nilai hartanah tersebut.



Najib turut menyentuh mengenai Kampung Baru dengan jaminan aset bumiputera yang berharga di tengah-tengah pusat bandar raya itu akan dibangunkan tanpa menjejaskan kedudukan orang Melayu sebagai pemegang asal tanah-tanah di kawasan itu.



Dalam pada itu, katanya, kerajaan akan mengukuhkan agensi pembangunan keusahawanan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Nasional Bhd. (PUNB) dengan peruntukan sebanyak RM3 bilion.



Beliau berkata, pakej secara bersepadu akan dilaksanakan bagi meningkat dan mengukuhkan daya tahan dan daya saing Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian (MPPB).



Pakej berkenaan termasuk menyediakan latihan keusahawanan, bantuan teknikal, pembiayaan, khidmat rundingan serta promosi dan pemasaran.



"Bagi meningkatkan akses kepada kemudahan pembiayaan, sebanyak RM1.5 bilion atau separuh daripada tambahan dana Skim Jaminan Modal Kerja sebanyak RM3 bilion akan diperuntukkan kepada usahawan bumiputera," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

Maju tanpa abai kualiti hidup rakyat

KUALA LUMPUR 10 Jun - Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) akan memberi tumpuan untuk mentransformasi negara ke arah mencapai Wawasan 2020 dengan mewujudkan persekitaran kondusif bagi pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kualiti hidup rakyat.



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, justeru rancangan itu telah dirangka dengan pelbagai pendekatan baru bagi mencapai kemakmuran ekonomi dan keadilan sosial.



Tegasnya, sektor swasta akan diminta mengambil peranan menerajui pertumbuhan ekonomi untuk mengumpul pelaburan sekitar RM115 bilion setahun bagi memastikan kejayaan rancangan lima tahun itu.



Perdana Menteri berkata, langkah itu merupakan satu cabaran utama ke arah menuju ekonomi berpendapatan tinggi dan meningkatkan daya saing di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran antarabangsa.



Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Dana Mudahcara akan disediakan untuk membantu pembiayaan projek sektor swasta yang akan menghasilkan kesan limpahan ekonomi besar dengan jangkaan pelaburan RM200 bilion dalam tempoh rancangan.



Projek yang dipertimbangkan di bawah dana ini termasuk penambakan tanah di Westport di Pelabuhan Klang, Malaysia Truly Asia Centre di KL dan Taman Teknologi Tinggi Senai di Iskandar Malaysia di Johor.



Perdana Menteri turut menyeru perkongsian awam-swasta (PPP) yang lebih pintar dan berkesan dijalin di bawah RMK-10, khususnya bagi melaksanakan 52 projek berimpak tinggi bernilai RM63 bilion.



Projek tersebut termasuk pembinaan tujuh lebuh raya, dua loji penjanaan elektrik arang batu dan pembangunan tanah seluas 1,320 hektar (3,300 ekar) di Sungai Buloh.



Sementara itu tegas Perdana Menteri, pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh dan mapan tiada maknanya jika kualiti hidup segenap lapisan masyarakat tidak turut meningkat.



Justeru dalam memangkin pelaburan swasta agar berkembang cergas, menurutnya, kerajaan komited mengurangkan defisit fiskal kepada kurang daripada tiga peratus pada 2015.



"Selaras dengan konsep keadilan sosial yang diterapkan di dalam rancangan ini, kerajaan akan memastikan agar kemakmuran ekonomi negara diagihkan sebaik-baiknya agar kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan," katanya ketika membentangkan RMK-10 di Dewan Rakyat hari ini.



Najib berkata, kerajaan akan memberi tumpuan meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup bagi kumpulan isi rumah (KIR) berpendapatan 40 peratus terendah yang bilangan terbesarnya iaitu merangkumi 73 peratus daripada 2.4 juta isi rumah ialah bumiputera.



Bagi menjaga kebajikan kumpulan berpendapatan rendah tersebut, Perdana Menteri berkata, keputusan berhubung pengurangan subsidi hanya akan dilaksanakan setelah mengambil kira maklum balas dan merundingi rakyat.



Tambahnya, fokus khas juga akan diberi kepada golongan terpinggir yang tinggal di kawasan pedalaman terutama rumah panjang di Sabah dan Sarawak selain Orang Asli dan pekerja estet di Semenanjung Malaysia.



Bagi mewujudkan persekitaran kondusif, kerajaan akan memastikan kualiti hidup yang tinggi di kawasan bandar dengan memastikan ia selesa didiami dan mendapat liputan kemudahan asas mencukupi.



Ini termasuk memperkemas lagi juraian dan rangkaian perhubungan awam di Kuala Lumpur dengan pelaksanaan projek mega Mass Rapid Transit (MRT) berkapasiti tinggi selain kemudahan pengangkutan di bandar-bandar lain.



Di dalam ucapan itu, Perdana Menteri mengumumkan RM230 bilion akan diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan di bawah RMK-10.



Sebanyak 55 peratus akan diperuntukkan bagi sektor ekonomi, 10 peratus bagi keselamatan dan 5.0 peratus bagi pentadbiran am.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm