Monday, February 7, 2011

Lebih Ramai Bakal Membeli-belah Guna Internet

Oleh NORLAILI ABD. RAHMAN
bisnes.utusan@gmail.com

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Perniagaan membeli-belah di Internet mempunyai masa depan cerah di negara ini berikutan peningkatan kadar penembusan jalur lebar setiap tahun.

Ketua Perniagaan eBay Malaysia, Abhimanyu Lal berkata, syarikat jualan dalam talian itu optimis untuk merekod pertumbuhan jualan tiga digit tahun depan di negara ini.

Menurut beliau, eBay Malaysia mempunyai 552,000 pengguna berdaftar di seluruh negara.

"Malaysia kini berada di kedudukan terbaik untuk pergi lebih jauh di dalam perniagaan dalam talian kerana majoriti rakyatnya terdiri daripada golongan muda selain infrastruktur yang baik membuatkan kami cukup yakin terhadap potensi besar di negara ini.

"Malah perkembangan serupa di negara-negara ASEAN juga menawarkan potensi besar kepada perniagaan ini kerana pembelian secara dalam talian juga memberi peluang kepada pembeli untuk memiliki barangan yang tidak terdapat di negara ini dengan harga yang berpatutan,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

eBay Malaysia menawarkan tiga format untuk menjana pendapatan di laman web miliknya iaitu menerusi lelongan barangan, harga tetap dan iklan kecil.

Ia menawarkan sehingga 600 kategori produk yang terdiri daripada antaranya barangan antik, barangan kecantikan, pakaian, aksesori, gajet dan barangan koleksi.

"Barangan koleksi, pakaian dan gajet merupakan antara produk-produk yang paling mendapat sambutan hangat oleh pembeli di Malaysia," katanya.

Menurut Abhimanyu, majoriti pengguna berdaftar dengan eBay Malaysia adalah terdiri daripada usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang menjadikan laman tersebut sebagai platform untuk menjual produk.

Jelas beliau, eBay menjadi pilihan usahawan kerana mahu mengurangkan kos operasi selain mudah mendapatkan pelanggan berpotensi memandangkan laman web itu mempunyai pengikut yang ramai.

"eBay tidak mengenakan caj kepada mereka yang mahu melelong atau menjual barangan di laman web ini kecualilah ada pakej-pakej tambahan yang diminta pelanggan, barulah ada caj yang akan dikenakan dengan kadar berpatutan, " tambah beliau lagi.

Menurut Abhimanyu, pada sesuatu masa, sejumlah 94,000 penyenaraian secara langsung dibuat oleh ribuan penjual bagi 600 kategori produk di laman web eBay Malaysia.

Malah, Kajian Antarabangsa AC Nielsen 2006 menunjukkan 4,000 penjual menggunakan eBay Malaysia sebagai sumber pendapatan utama atau kedua.

eBay Malaysia adalah anak syarikat milik penuh eBay Incorporated dan ia boleh diakses menerusi laman web www.ebay.com.my.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm

No comments: