Monday, May 24, 2010

Malaysia-Singapura capai kesepakatan

25 Mei 2010 / 11 Jamadil Akhir 1431


SINGAPURA 24 Mei – Hubungan kian rapat antara Malaysia dan Singapura melangkah maju hari ini apabila kedua-dua negara bersetuju menyelesaikan beberapa masalah “legasi”, terutama yang terkandung dalam dokumen Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA), yang ditandatangani pada 1990.





NAJIB Tun Razak dan Lee Hsien Loong bersalaman sebelum memulakan sidang akhbar bersama di Hotel Shangri-la, Singapura, semalam. – BERNAMA





Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, masalah legasi atau warisan itu tidak lagi akan menghambat atau menghantui hubungan dan kerjasama bilateral antara Malaysia dengan Singapura ke arah mencapai perjanjian dan persetujuan bersama.


“Hari ini amat bersejarah kerana kita melihat ada ‘cahaya di hujung terowong’ dalam usaha bersama menyelesaikan isu-isu tertangguh yang diwarisi dalam hubungan Malaysia dengan Singapura ini.

“Kedua-dua negara memutuskan untuk membulatkan tekad politik bagi mencari penyelesaian muktamad terhadap masalah-masalah warisan itu dan kini kita mempunyai perjanjian POA yang lebih baik,” tegas Najib dalam sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong di sini hari ini.


Terdahulu, Najib dan Hsien Loong telah mengadakan pertemuan “empat mata” sebagai sebahagian daripada jadual rangka lawatan dua hari Najib ke negara republik ini yang bermula semalam.

Lawatan yang disusun atur mengikut konsep pemukiman turut melihat delegasi dari kedua-dua negara, yang melibatkan menteri-menteri kanan, bermesyuarat secara tidak formal dan tanpa apa-apa agenda mesyuarat selepas pertemuan “empat mata” tersebut.


Delegasi Malaysia termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat; dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Najib berpendapat, pertemuan hari ini telah membuahkan hasil yang positif, sekali gus memberi isyarat atau mesej yang jelas bahawa Malaysia dan Singapura kini bergerak ke arah hubungan dan kerjasama yang lebih baik serta lagi erat.

“Hari ini, kita memberi isyarat yang positif kepada sektor swasta dan rakyat di kedua-dua negara bahawa sudah tiba masanya untuk kita melangkah maju, meningkatkan pelaburan, menggalakkan lagi hubungan perdagangan serta merancang lebih banyak projek usaha sama,” jelas Perdana Menteri.


Sementara itu, Hsien Loong dalam ucapannya berkata, rundingan hari ini berjaya memfokus perbincangan kepada meningkatkan hubungan dua hala Singapura-Malaysia ketika dunia berdepan dengan lebih banyak cabaran terhadap hubungan serta kerjasama dua hala.


“Isu POA telah menghantui hubungan kedua-dua negara selama hampir 20 tahun, tetapi hari ini kita berjaya buktikan bahawa kita boleh melihat ke hadapan dan meletakkan isu-isu warisan tersebut di belakang kita.


“Kita mencapai banyak persetujuan termasuk dalam isu tanah Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB), kemudahan air yang terkandung dalam Perjanjian Air 1961, mengurangkan kadar tol di Lebuh Raya Laluan Kedua, meningkatkan lagi perhubungan antara Singapura dan Malaysia dan beberapa lagi,” katanya, yang jelas gembira dengan persetujuan yang dicapai dengan Najib. – Utusan
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

No comments: