Monday, May 24, 2010

Syarikat M-S Pte. Ltd. majukan tanah KTMB

Utusan Online:25 Mei 2010 / 11 Jamadil Akhir 1431


SINGAPURA 24 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tanah Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) di pulau republik ini mungkin ditukar ganti dengan tanah yang lebih bernilai dan mudah dimajukan apabila Malaysia dan Singapura menubuhkan sebuah syarikat usaha sama sebelum 31 Disember ini.



Kedua-dua negara katanya, bersetuju untuk menubuhkan M-S Pte. Ltd. bagi tujuan membangunkan tanah-tanah milik KTMB di Tanjong Pagar, Kranji, Woodlands dan Bukit Timah di sini, seperti mana yang diperakui dalam dokumen Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA) 1990.



Beliau berkata, syarikat tersebut akan melihat Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) memiliki 60 peratus ekuiti, manakala pihak Singapura melalui Temasek Holdings Ltd. akan menguasai baki 40 peratus ekuiti.



Katanya, enam bidang tanah KTMB berkenaan akan dilaburkan ke dalam syarikat Malaysia-Singapura itu untuk pembangunan bersama, yang kemudian boleh ditukar ganti dengan lima bidang tanah di kawasan Marina South dan Orphir-Rochor, yang terletak dalam zon yang lebih strategik dan bernilai tinggi.



"Perdana Menteri Singapura, Lee (Hsien Loong) akan melawat Kuala Lumpur dalam masa sebulan ini bagi membincangkan lagi cadangan pertukaran ganti tanah KTMB itu bagi pertimbangan Malaysia," ujar Perdana Menteri dalam sidang akhbar bersama di sini hari ini.



Difahamkan jumlah tanah KTMB yang dipajak dari kerajaan Singapura sejak 1918 bagi tujuan perkhidmatan kereta api adalah seluas 217 hektar, termasuk laluan landasan kereta api sepanjang 20-30 kilometer dari utara republik itu hingga ke selatan.



Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, kedua-dua negara akan melakukan penilaian terhadap harga semasa tanah-tanah KTMB itu dan tanah-tanah untuk ditukar ganti di kawasan Marina South dan Orphir-Rochor.



"Pemindahan (nilai hartanah) tanah KTMB ke dalam syarikat M-S Pte. Ltd. itu akan berkuat kuasa pada masa KTMB mengosongkan Stesen Kereta Api Tanjong Pagar (TPRS) pada 1 Julai, 2011 nanti," kata kenyataan tersebut.



Selain itu, Singapura bersetuju dengan cadangan Malaysia agar bangunan Stesen Kereta Api Tanjong Pagar dan Stesen Kereta Api Bukit Timah dipulihara sebagai tapak warisan memandangkan kedua-dua stesen itu mempunyai kepentingan dari segi sejarah dan pelancongan.



Sementara itu, kedua-dua perdana menteri bersetuju mewujudkan satu pasukan petugas bersama, yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Luar dari Malaysia dan Singapura, bagi merundingkan lagi perincian pelaksanaan penubuhan syarikat usaha sama itu.



Ini menurut kenyataan itu, termasuk membentuk garis panduan penubuhan dan pengurusan M-S Pte. Ltd., sistem perkhidmatan rel laju (sistem transit laju, RTS) antara Johor Bahru di Johor dan Woodlands di Singapura, dan penempatan kemudahan Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ) Malaysia ke Woodlands.



"Pasukan petugas bersama itu akan melengkapkan tugas mereka menjelang 31 Disember ini dan hasil perbincangan oleh pasukan tersebut akan diperakui dalam satu dokumen bertulis yang bakal ditandatangani oleh kedua-dua negara jika dipersetujui," tambah kenyataan berkenaan. - Utusan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm

No comments: