Monday, July 12, 2010

Kawasan perbandaran lebih menarik, strategik

ARKIB : 11/06/2010





PEMULIHAN sungai dan pembangunan semula kawasan pinggiran air (waterfront) di bandar-bandar besar akan menjadi keutamaan kerajaan dalam RMK-10.



Antaranya ialah Kuala Lumpur, Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching yang merupakan pusat aktiviti utama dan sudah pun mempunyai kawasan pinggiran air strategik.



Kerajaan mengambil contoh bandar ikonik dunia yang mempunyai ciri sama iaitu pinggiran air yang berdaya maju, seperti Sungai Thames di London, Esplanade di Singapura dan Cheong Gye Cheon di Seoul, Korea Selatan.



Semua bandar besar berkenaan mempunyai pinggiran yang dipulihara dan dimajukan dengan baik sehingga menjadi salah satu tarikan utama pelancongan.



Perancangan itu terkandung dalam RMK-6 ke arah meningkatkan kualiti hidup dalam menjadikan kawasan kediaman sebagai suatu tempat atau kawasan yang menarik untuk didiami, bekerja dan beriadah.



Salah satu projek pemulihan pinggiran yang akan dijadikan model utama ialah pemulihan dan pengindahan Sungai Melaka yang turut memenangi anugerah, berdasarkan keunikan seni bina dengan mengintegrasi reka bentuk moden dan kekayaan warisan budaya.



Projek pemulihan itu nanti merupakan inisiatif jangka panjang yang memerlukan usaha bersepadu berskala besar bagi membersih, memulih ekosistem dan melindungi sungai, meliputi tempat ia mengalir melalui bandar dan di hulu tempat ia bermula.



Dalam pada itu untuk memastikan kesinambungan kesejahteraan rakyat, kerajaan turut memperluaskan perkhidmatan asas di kawasan luar bandar. Rasionalnya, bandar dan luar bandar saling bergantungan daripada segi ekonomi.



Sehubungan itu, pelaksanaan kelompok pertumbuhan di luar bandar atau Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) akan ditingkat dan dipercepatkan bagi memastikan warga desa mendapat manfaat daripada kemudahan awam berkualiti tinggi seperti kesihatan, pendidikan, komunikasi, pengangkutan awam dan utiliti.



http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_06.htm

No comments: