Monday, July 12, 2010

Transformasi sektor awam untuk tindak balas berkesan

ARKIB : 11/06/2010




TRANSFORMASI sektor awam akan memberikan perkhidmatan lebih cekap kepada rakyat.



SEKTOR awam perlu ditransformasikan bagi bertindak balas secara berkesan kepada persekitaran global yang pesat berubah. Empat prinsip utama yang menjadi asas kepada transformasi ini adalah budaya kreativiti dan inovasi, kepantasan membuat keputusan dan bertindak, nilai untuk wang serta integriti.



Memandangkan cabaran dan peluang akan melangkaui sempadan tradisi, pendekatan keseluruhan kerajaan antara agensi serta kerjasama merentasi peringkat persekutuan negeri dan tempatan sebagai sebuah kerajaan bersepadu bagi memastikan isu bersilang agensi dapat ditangani.



Bagi membolehkan kepantasan dalam membuat keputusan dan bertindak, lebih banyak penurunan kuasa akan diberi kepada agensi terpilih selaras dengan peningkatan akauntabiliti dan kemampuan.



Lebih autonomi akan diberi kepada agensi pengendali seperti universiti dan hospital supaya menjadi lebih responsif kepada pelanggan.



Bagi meningkatkan penyampaian, mekanisme persaingan dan pasaran akan terus diperkenal seperti penarafan balai polis dan sekolah serta pembiayaan berasaskan permintaan bagi universiti dan institut latihan.



Untuk memastikan akauntabiliti KPI bagi mengukur hasilnya akan dikait kepada individu dan dipantau secara berskala dan menumpu kepada usaha memperbaiki kedudukan fiskal negara dalam tempoh rancangan.



Selain memperluas asas cukai melalui kutipan lebih efektif, mencapai peningkatan produktiviti melalui infrastruktur bersepadu dan memperkenal perkongsian perkhidmatan serta meningkat kecekapan dalam perolehan dan pengurusan ICT.



Kerajaan akan memberi tumpuan kepada peranan sebagai pemudah cara dalam menyediakan persekitaran yang sesuai untuk sektor swasta melalui dasar dan peraturan yang efektif.



Di samping itu, terdapat juga peralihan dalam perbelanjaan sektor awam daripada infrastruktur fizikal kepada bukan fizikal terutamanya dalam program peningkatan kemahiran, penyelidikan dan pembangunan, pembiayaan modal teroka dan pemboleh inovasi lain.



Kerajaan juga akan terus beralih daripada pembinaan infrastruktur fizikal dan pengoperasian perkhidmatan awam kepada perolehan perkhidmatan daripada sektor swasta.



Struktur baru kerajaan akan memerlukan sesetengah organisasi sedia ada dirasionalisasi terutamanya yang mempunyai fungsi bertindih atau berulang.



Organisasi yang memfokus kepada keutamaan nasional akan diperkukuh dan sumber manusia dalam perkhidmatan awam akan terus dibangun.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_09.htm

No comments: