Tuesday, March 30, 2010

MEB rancakkan pelaburan asing

31 Mac 2010 / 15 Rabiul Akhir 1431

KUALA LUMPUR 30 Mac - Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merancakkan lagi kemasukan pelaburan pelabur-pelabur asing ke negara ini.
Penasihat Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (Wawasanita), Datuk Jamelah A. Bakar berkata, langkah itu juga dilaksanakan tepat pada masanya bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap situasi ekonomi negara.

"Kita percaya dengan langkah mewujudkan MEB ini juga ia akan berupaya merancakkan lagi pasaran saham yang telah muram sejak selepas pilihan raya umum lalu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Perdana Menteri hari ini mengumumkan intipati MEB antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dibenar melabur lebih banyak lagi di dalam aset di seberang laut.
Melalui MEB juga, Lembaga Kemajuan Industri Malaysia (MIDA) akan dikorporatkan untuk membolehkannya berfungsi dengan lebih efektif sebagai satu agensi promosi pelaburan.
Jamelah berkata, melalui pelaksanaan MEB juga, sebarang langkah yang dibuat kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing adalah amat baik.
Namun katanya, pada masa sama, rakyat tempatan haruslah diasuh untuk mengambil alih tempat pekerja asing dengan gaji yang dibayar juga perlulah bersesuaian dan tinggi bagi menarik minat mereka.
"Kita yakin apa juga yang telah dibentangkan Perdana Menteri pada MEB sememangnya bertujuan membawa rakyat dan negara ke satu tahap ekonomi yang lebih tinggi pada masa depan.
"Namun segalanya bergantung kepada pelaksanaan yang baik dan berkesan seperti kerenah birokrasi terutama dalam membawa pelabur asing masuk," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm

No comments: