Tuesday, March 30, 2010

MIDA akan dikorporatkan

31 Mac 2010 / 15 Rabiul Akhir 1431


KUALA LUMPUR 30 Mac - Lembaga Kemajuan Industri Malaysia (MIDA ) akan dikorporatkan bagi membolehkan ia menjadi sebuah agensi promosi pelaburan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga telah bersetuju untuk memperkasakan MIDA dengan kuasa yang diperlukan untuk berunding secara terus dengan pelabur bagi projek yang disasarkan.



''Selain itu, MIDA akan dilantik sebagai agensi pusat promosi pelaburan untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan kecuali perkhidmatan utiliti dan kewangan bagi meningkatkan koordinasi dan kepaduan antara pelbagai badan promosi pelaburan di negara ini,'' katanya.



Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Invest Malaysia 2010 di sini hari ini.



Menurut Perdana Menteri, perubahan itu akan membolehkan MIDA meluluskan insentif pada masa benar (real time) dan bertindak dengan lebih pantas untuk menjalinkan hubungan yang lebih efektif dengan pelabur.



Oleh itu, tambah beliau, nama MIDA akan ditukar kepada Lembaga Pelaburan Malaysia (Malaysia Investment Authority) dengan mengekalkan akronim MIDA kerana ia jenama yang telah dikenali.



Tambah beliau, walaupun MIDA telah muncul sebagai institusi yang diiktiraf di kalangan pelabur asing dan domestik namun masanya telah tiba untuk membuat perubahan drastik bagi menjadikan lembaga itu sebagai sebuah agensi promosi pelaburan yang lebih efektif.



Pada majlis yang sama, Najib turut mengumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan untuk melabur lebih banyak aset di luar negara.



Menurut Najib, tindakan tersebut akan membolehkan KWSP mempelbagaikan portfolio dan memberikan lebih banyak ruang pelaburan domestik untuk penyertaan baru.



''Pada masa ini, KWSP mempunyai enam peratus aset pelaburan luar pesisir pantai dan jumlah itu akan meningkat secara ketara.



''KWSP juga akan meningkatkan pelaburan langsung di dalam ekonomi benar Malaysia, sebagai alternatif kepada pasaran pelaburan seperti penglibatan dalam sektor penjagaan kesihatan, komoditi, hartanah dan pelaburan jangka masa panjang yang lain dengan memenuhi keperluan KWSP untuk melindungi nilai pulangan ke atas asetnya,'' jelasnya.



Semalam KWSP menerusi satu kenyataan berkata, ia merancang untuk meningkatkan pelaburan seberang lautnya kepada 10 peratus dalam tempoh satu hingga dua tahun.



Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Azlan Zainol berkata, tumpuannya adalah terus melabur dalam ekuiti syarikat-syarikat penyenaraian awam.



Menurut Azlan, pihaknya akan meningkatkan pelaburan di Eropah, Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Asia Tenggara.



Menurut Najib, pada masa ini KWSP menguasai pasaran ekuiti dan bon tempatan sehingga 50 peratus daripada jumlah dagangan harian bursa tempatan yang diwakili oleh perdagangan berkaitan KWSP, yang mana situasi tersebut tidak sihat untuk pasaran dan juga kumpulan itu.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm

No comments: