31 Mac 2010 / 15 Rabiul Akhir 1431
Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
Pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 30 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan bekerjasama membangunkan kawasan seluas 1,200 hektar di Sungai Buloh sebagai hab baru Lembah Klang.
Menurut Perdana Menteri, pembangunan itu akan membawa kepada pelaburan baru melebihi RM5 bilion yang memberikan kesan segera kepada pertumbuhan ekonomi domestik dengan potensi besar kepada sektor swasta untuk turut sama terlibat secara aktif.
‘‘Inisiatif ini akan menjadi permulaan yang baik untuk lebih banyak penjualan dan usaha sama antara sektor awam dan swasta dalam pembangunan harta tanah,” katanya ketika berucap pada persidangan Invest Malaysia 2010 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, bagi mempromosikan pelaburan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi, beberapa lot tanah di Jalan Stonor, Jalan Ampang dan Jalan Lidcol di sini telah dikenal pasti untuk ditender dan dibangunkan oleh sektor swasta.
‘‘Aset ini jika tidak dibangunkan merupakan satu pembaziran dan meningkatkan kos penyelenggaraan kepada kerajaan,” katanya.
Perdana Menteri menambah, kerajaan akan mengurangkan persaingan secara langsung dengan sektor swasta.
‘‘Kita telah menyemak semula beberapa syarikat di bawah Kementerian Kewangan diperbadankan dan agensi-agensi lain.
‘‘Kerajaan juga akan mempertimbangkan penswastaan Percetakan Nasional Malaysia Berhad, CTRM Aero Composites Sdn. Bhd., Nine Bio Sdn. Bhd., Innobio Sdn. Bhd. dan beberapa lagi syarikat lain,” katanya.
Selain itu, jelasnya, Petronas telah mengenal pasti dua subsidiari yang agak besar dengan rekod prestasi yang baik untuk disenaraikan pada tahun ini di Bursa Malaysia.
Menurutnya, matlamat inisiatif itu untuk mengurangkan penglibatan kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti perniagaan yang akan menjadi lebih cekap sekiranya dijalankan oleh sektor swasta.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm
No comments:
Post a Comment