Wednesday, June 9, 2010

Lebihan akaun semasa suku pertama naik 11%

UtusanOnline


10 Jun 2010

27 Jamadil Akhir 1431


KUALA LUMPUR 9 Jun - Lebihan akaun semasa Malaysia pada suku pertama 2010 meningkat sebanyak RM3.0 bilion atau 11.1 peratus kepada RM30.4 bilion daripada RM27.4 bilion pada suku sebelumnya.



Ia bersamaan dengan 16.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Peningkatan ini terutamanya disebabkan oleh lebihan yang lebih tinggi pada akaun barangan sebanyak RM7.1 bilion kepada RM45.0 bilion, daripada RM37.9 bilion dicatatkan pada suku pertama 2009, dan bayaran bersih yang lebih rendah pada akaun perkhidmatan iaitu RM94.2 bilion daripada RM142.2 bilion sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan hari ini.



Sementara itu, kedua-dua akaun pendapatan dan pindahan semasa mencatatkan aliran keluar bersih yang lebih tinggi iaitu masing-masing sebanyak RM8.9 bilion (suku keempat 2009: RM5.6 billion) dan RM5.6 bilion (suku keempat 2009: RM4.8 bilion).



Perbezaan tahun ke tahun, imbangan akaun semasa menunjukkan sedikit penurunan sebanyak RM0.8 bilion, atau 2.7 peratus, daripada RM31.3 bilion tahun lepas kepada RM30.4 bilion, kata jabatan itu.



Penurunan ini terutamanya disebabkan ketirisan yang lebih tinggi pada kedua-dua akaun pendapatan dan pindahan semasa dan perubahan arah pada akaun perkhidmatan kepada pembayaran bersih. Pergerakan ini telah berupaya mengimbangi lebihan yang lebih tinggi pada akaun barangan. - Bernama


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm

No comments: