Friday, June 11, 2010

Maju tanpa abai kualiti hidup rakyat

KUALA LUMPUR 10 Jun - Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) akan memberi tumpuan untuk mentransformasi negara ke arah mencapai Wawasan 2020 dengan mewujudkan persekitaran kondusif bagi pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kualiti hidup rakyat.



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, justeru rancangan itu telah dirangka dengan pelbagai pendekatan baru bagi mencapai kemakmuran ekonomi dan keadilan sosial.



Tegasnya, sektor swasta akan diminta mengambil peranan menerajui pertumbuhan ekonomi untuk mengumpul pelaburan sekitar RM115 bilion setahun bagi memastikan kejayaan rancangan lima tahun itu.



Perdana Menteri berkata, langkah itu merupakan satu cabaran utama ke arah menuju ekonomi berpendapatan tinggi dan meningkatkan daya saing di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran antarabangsa.



Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Dana Mudahcara akan disediakan untuk membantu pembiayaan projek sektor swasta yang akan menghasilkan kesan limpahan ekonomi besar dengan jangkaan pelaburan RM200 bilion dalam tempoh rancangan.



Projek yang dipertimbangkan di bawah dana ini termasuk penambakan tanah di Westport di Pelabuhan Klang, Malaysia Truly Asia Centre di KL dan Taman Teknologi Tinggi Senai di Iskandar Malaysia di Johor.



Perdana Menteri turut menyeru perkongsian awam-swasta (PPP) yang lebih pintar dan berkesan dijalin di bawah RMK-10, khususnya bagi melaksanakan 52 projek berimpak tinggi bernilai RM63 bilion.



Projek tersebut termasuk pembinaan tujuh lebuh raya, dua loji penjanaan elektrik arang batu dan pembangunan tanah seluas 1,320 hektar (3,300 ekar) di Sungai Buloh.



Sementara itu tegas Perdana Menteri, pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh dan mapan tiada maknanya jika kualiti hidup segenap lapisan masyarakat tidak turut meningkat.



Justeru dalam memangkin pelaburan swasta agar berkembang cergas, menurutnya, kerajaan komited mengurangkan defisit fiskal kepada kurang daripada tiga peratus pada 2015.



"Selaras dengan konsep keadilan sosial yang diterapkan di dalam rancangan ini, kerajaan akan memastikan agar kemakmuran ekonomi negara diagihkan sebaik-baiknya agar kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan," katanya ketika membentangkan RMK-10 di Dewan Rakyat hari ini.



Najib berkata, kerajaan akan memberi tumpuan meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup bagi kumpulan isi rumah (KIR) berpendapatan 40 peratus terendah yang bilangan terbesarnya iaitu merangkumi 73 peratus daripada 2.4 juta isi rumah ialah bumiputera.



Bagi menjaga kebajikan kumpulan berpendapatan rendah tersebut, Perdana Menteri berkata, keputusan berhubung pengurangan subsidi hanya akan dilaksanakan setelah mengambil kira maklum balas dan merundingi rakyat.



Tambahnya, fokus khas juga akan diberi kepada golongan terpinggir yang tinggal di kawasan pedalaman terutama rumah panjang di Sabah dan Sarawak selain Orang Asli dan pekerja estet di Semenanjung Malaysia.



Bagi mewujudkan persekitaran kondusif, kerajaan akan memastikan kualiti hidup yang tinggi di kawasan bandar dengan memastikan ia selesa didiami dan mendapat liputan kemudahan asas mencukupi.



Ini termasuk memperkemas lagi juraian dan rangkaian perhubungan awam di Kuala Lumpur dengan pelaksanaan projek mega Mass Rapid Transit (MRT) berkapasiti tinggi selain kemudahan pengangkutan di bandar-bandar lain.



Di dalam ucapan itu, Perdana Menteri mengumumkan RM230 bilion akan diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan di bawah RMK-10.



Sebanyak 55 peratus akan diperuntukkan bagi sektor ekonomi, 10 peratus bagi keselamatan dan 5.0 peratus bagi pentadbiran am.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

No comments: