Wednesday, June 9, 2010

'Pasaran baru muncul maju' sasaran Malaysia

UtusanOnline

10 Jun 2010
27 Jamadil Akhir 1431


PETALING JAYA 9 Jun - Pasaran modal Malaysia berhasrat untuk berada di dalam segmen 'Pasaran baru muncul maju' Siri-siri Indeks Ekuiti Global FTSE tahun ini dalam usaha untuk menjadi lebih cekap, liberal dan sebuah pasaran modal yang berkecairan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Yusli Mohamed Yusoff (gambar) berkata, Malaysia pada masa ini berada dalam segmen 'Pasaran Baru Muncul Sekunder'.
"Ini adalah sesuatu yang jawatankuasa FTSE perlu putuskan. Ia akan melihat kepada klasifikasi negara-negara," kata beliau kepada pemberita di luar persidangan Persatuan Kewangan Malaysia yang ke-12 di sini hari ini.
Yusli berkata, FTSE akan membuat keputusan itu pada suku ketiga dan berharap pasaran modal Malaysia akan dinaik tarafkan.
"FTSE berpangkalan di UK ialah syarikat indek dan ahli jawatankuasanya terdiri daripada peserta pasaran seluruh dunia," kata beliau.
Beliau berkata, pada asasnya, FTSE akan melihat kepada kriteria seperti kualiti pasaran dan dasar tukaran asing serta rangka kerja peraturan pasaran.
Yusli berkata, Singapura pada masa ini berada dalam segmen 'Pasaran Pembangunan'.
Persidangan tiga hari, bermula semalam, telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Terdahulu, Yusli membentangkan kertas bertajuk, "Pasaran Modal Malaysia: Perlukah Liberalisasi dikawal atur semula?"
Antara penceramah yang menyertai sesi itu ialah pengarah urusan Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Dr Nik Ramlah Mahmood dan lembaga pengarah CPA Australia, Christina Foo.
Nik Ramlah berkata, saiz pasaran modal telah berganda sejak dekad yang lepas.
Beliau berkata, ia telah mencecah RM1.7 trilion pada 2009, melepasi sasaran RM1.5 trilion.

"Kami mahu menarik bukan sahaja pengurus dana tempatan tetapi juga asing bagi menanda aras diri kita sendiri. Kita perlu menanda aras pasaran modal kita untuk menarik lebih ramai peserta.


"Ini ialah untuk memastikan Malaysia berdaya saing di peringkat antarabangsa," kata beliau. - BERNAMA

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm

No comments: