Wednesday, June 9, 2010

UtusanOnline
10 Jun 2010 Bersamaan 27 Jamadil Akhir 1431

Kes penipuan cetus kebimbangan liabiliti serius


KUALA LUMPUR 9 Jun - Kajian mengenai penipuan global oleh Ernst & Young menunjukkan anggota lembaga pengarah kini semakin bimbang terhadap liabiliti peribadi mereka terhadap penipuan dan rasuah.



Para eksekutif yang ditemu bual yakin lembaga pengarah masing-masing tidak bersedia sepenuhnya untuk menangani risiko baharu penipuan dan rasuah semasa syarikat kembali mencatat pertumbuhan, kata E&Y dalam satu kenyataan hari ini.



Kajian Penipuan Global ke-11 E&Y juga mendedahkan 76 peratus responden berpendapat lembaga pengarah masing-masing bimbang, terutama terhadap Amerika Latin (95 peratus, Timur Tengah dan Afrika (87), Eropah Tengah dan Timur (84), Australia (81) dan Timur Jauh (77).



Respons daripada lebih 1,400 ketua pegawai kewangan (CFO) dan ketua audit dalaman, perundangan dan pematuhan di syarikat utama di 36 negara di seluruh dunia, turut menunjukkan bahawa penipuan semakin ketara di beberapa kawasan.



Mengenai pencegahan, 25 peratus responden di Timur Jauh tidak pernah diuji terhadap risiko penipuan.



Ini berlaku meskipun 77 peratus responden menyatakan lembaga pengarah masing-masing sangat bimbang terhadap liabiliti peribadi mereka daripada penipuan dan rasuah.



Walaupun bimbang, 'mereka tidak menunjukkan usaha untuk meningkatkan pelindungan diri', kata E&Y.



Turut membimbangkan ialah hanya empat daripada 10 CFO yang ditemu bual diminta melakukan kajian semula terhadap kawalan antipenipuan dan rasuah sepanjang 12 bulan lepas.



Kawalan dan audit dalaman terus dilihat sebagai barisan utama pertahanan syarikat terhadap penipuan oleh sebahagian besar responden.



Sebahagian besar responden dunia (60 peratus) menganggap penolakan kawalan dalaman oleh pihak pengurusan sebagai antara cabaran paling besar dalam menangani penipuan, namun audit dalaman yang lebih kukuh masih dianggap kaedah berkesan dalam mengenal pasti penipuan (71 peratus) daripada responden dunia.



Philip Rao, rakan, Perkhidmatan Pertikaian dan Siasatan Penipuan, Ernst & Young Advisory Services Sdn Bhd., berkata: "Lebih banyak perhatian perlu diberikan dalam mememenuhi penemuan dan cadangan audit dalaman, terutama semasa bendera merah dinaikkan, memandangkan ia akan membolehkan tindakan pemulihan dilakukan sebelum isu itu semakin meluas dan menjadi kebimbangan utama syarikat. - BERNAMA

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm

No comments: