Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 15 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, tiada percanggahan mengenai isu pemilikan ekuiti bumiputera dalam Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dengan laporan dikeluarkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Beliau berkata, laporan MTEN adalah tepat serta tiada sebarang konflik mengenainya dan pembentangan RMK-10 di Dewan Rakyat minggu lalu merupakan pendirian kerajaan.
"Kita mesti faham, laporan yang dibuat oleh MTEN adalah tepat dan susulan mengenai butiran lanjut terutama yang melibatkan Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) akan dihuraikan kelak.
"Saya tidak menjanjikan bantuan bumiputera dihapuskan. Itu salah tanggapan, apa yang saya kata, bantuan ini kita akan lakukan dengan cara yang mesra pasaran dan berdasarkan merit," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di sini malam ini.
Perdana Menteri mengulas dakwaan pihak tertentu bahawa langkah kerajaan mengekalkan pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus dalam RMK-10 bertentangan dengan laporan yang dibuat oleh MTEN.
Mengulas lanjut, Najib berkata, kerajaan juga akan memperincikan penjelasan mengenai sub sektor NKEA yang akan dibangunkan bagi menyumbang kepada peningkatan pendapatan per kapita bumiputera.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan, kerajaan juga memberi tumpuan kepada pendapatan 40 peratus isi rumah tanpa mengira kaum.
"Kita turut memberi tumpuan kepada sektor swasta yang sudah tentu akan menolong semua pihak dalam membangunkan negara kita," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri memberitahu, semua parti komponen BN akan mengambil tanggungjawab menjelaskan mengenai isu MBE dan RMK-10 kepada seluruh rakyat.
Menurutnya, langkah itu bertujuan untuk memastikan rakyat sedar bahawa agenda yang dirangka dalam RMK-10 dan MBE adalah perjuangan BN untuk semua kaum dan bukan hanya dikhususkan untuk kaum tertentu sahaja.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm
No comments:
Post a Comment